Contact Form

 

CATAN REALISME FOTO ABD LATIF



CATAN REALISME FOTO ABD LATIF
Utusan Malaysia - KHAMIS 23 September 2004

Menghasilkan seni lukis hampir setepat rakaman foto memerlukan dedikasi dan ketelitian tinggi bagi melahirkan kerya yang bermutu dan menarik.
Karya-karya aliran realisme foto dan realisme kontemporari juga menuntut ketepatan dan kesabaran hampir sempurna jika senimannya ingin melihat hasil yang bermutu tinggi.
Menatap karya-karya Abd Latif Maulan memberikan kesan tampak yang memberangsangkan, terutama untuk memberikan tanggapan apakah karya yang terbentang merupakan sebuah hasil lukisan atau suatu rakaman foto yang dicetak pada kanvas.
Malah usikan bahawa lukisan beliau merupakan hasil daripada cetakan foto sentiasa dinafikan dengan menyatakan ianya adalah hasil kreativiti, kehalusan serta penguasaan teknik menggunakan cat minyak dan berus pada kanvas.
Sememangnya karya-karya yang berkonsepkan realisme foto dan realisme kontemporary cuba memberikan suatu kesan tampak setepat keadaan asal subjek atau objek yang dipilih, sama ada dalam bentuk rakaman fotografi atau seperti dalam pengelihatan mata.
Tiada manipulasi teknik cetakan sebaliknya, ia menuntut kesabaran seniman untuk menekuni kerjanya sehingga memberikan kesan dan hasil yang diingini.
Lantaran itu juga seniman yang mengkagumi Picasso dan jaafar taib ini menyatakan bahawa beliau perlu mengambil masa antara seminggu hingga sebulan untuk menyiapkan sesuatu karya.
Menurutnya, beliau membuat rakaman foto dengan menekankan kesan artistik seperti sudut kamera, komposisi dan penataan cahaya sebagai garis panduan kepada karya-karya yang bakal dihasilkan.
"Biasanya paling kurang saya memerlukan tidak kurang dari 10 keping gambar untuk dipilih sebagai garis panduan menyiapkan sesuatu karya.
"Pameran kali ini pula saya menampilkan siri buah-buahan yang turut mengetengahkan kain sarung dan batik sebagai identiti, selain identiti khusus saya, titis-titis air," jelasnya.
Mengulas lebih lanjut mengenai titis air yang menjadi tanda karya, beliau katanya, ia juga dapat memperlihatkan kesegaran pada buah-buahan yang menjadi subjek pilihan.
Abd Latif Maulan yang tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang lukisan serta tunjuk ajar dari Raja Azhar Idris memulakan perjalanan seninya dengan cat air serta menghasilkan beberapa siri Dapur, Landskap dan Buah-buahan, Alam -Burung dan bunga.
Beliau merupakan salah seorang seniman yang menyertai pameran 75 karya di Concourse Great Eastern Mall, Jalan Ampang pada 23 September hingga 10 October sempena The Great Eastern Mall Art Fest 2004.
Turut diadakan adalah majlis lelong karya seni untuk mengisi tabung Majlis Kanser Negara (Makna)
Latif Maulan juga dijadualkan mengadakan demonstrasi teknik lukisan realisme foto di Concourse, Great Eastern Mall sempana pameran yang turut ddisertai oleh pelukis terkemuka seperti Ismail Latiff, Sharifah Fatimah Zubir, Yusuf Ghani, Raja Azhar Idris, dan Rafiee Ghani.

Total comment

Author

Latif Maulan

0   comments

Cancel Reply